Showing posts with label Soal jawab agama. Show all posts
Showing posts with label Soal jawab agama. Show all posts

Wednesday, May 15, 2013

Kemusykilan agama : Ustaz Azhar Idrus

Dijawab oleh : Ustaz Azhar Idrus

1) Salam berlapik

Q: Apa hukumnya perempuan bersalaman dengan lelaki secara berlapik iaitu dengan memakai sarung tangan? Pengetua di sekolah saya selalu berbuat demikian terutamanya dalam majlis-majlis rasmi.

A: Menurut pandangan kebanyakan ulama, tetap tidak boleh perempuan bersalaman dengan lelaki ajnabi biarpun dengan bersarung tangan. Ini kerana walaupun bersarung tangan, kita masih dapat merasai jisim atau bentuk bahagian badannya. Pendapat ini tidak menjadi ijmak. Namun kita mengajarkan pandangan muktamad iaitu tetap tidak boleh. Namun dalam keadaaan darurat atau hendak menolak mudarat yang lebih besar, ada pandangan yang membenarkan bersalaman dengan bersarung tangan. Jadi boleh hanya ketika kesulitan dan sangat-sangat perlu sahaja. Apa yang berlaku sekarang dalam keadaan biasa pun orang bersalam begitu sahaja. Antara alasannya sebab orang yang disalami itu pemimpin besar. siapa yang lebih tinggi pangkat daripada Rasulullah? dalam kitab Syarah Fiqh al-Akbar disebut: "Sesiapa yang berpendapat mana-mana pemimpin itu lebih tinggi daripada Rasulullah, dia jatuh murtad!". Pemimpin tertinggi ialah Rasulullah. Pun begitu, dalam peristiwa baiah Nabi tidak bersalaman pun dengan kaum wanita.

2) Aurat Ibu dan anak lelaki

Q: Apakah aurat ibu dengan anak lelakinya?

A: Berkenaan aurat lelaki dengan emak, Allah SWT berfirman mafhumnya: "Diharamkan bagi kamu ibu-ibu kamu sendiri." Maknaya emak kita adalah mahram kita. Jadi antara emak dan kita, yang wajib hanya pakai kain dari pinggang sampai lutut. Bahagian perut hingga ke atas, kita tidak haram untuk melihatnya dan dia tidak haram untuk menunjukkannya. Kita dahulu pun menyusu dengannya. Yang tidak bolehnya, emak pakai kain tuala nampak peha dan diilihat oleh lelaki lain. Begitu juga anak lelaki hanya berseluar dalam di hadapan emak. Ayah juga tidak boleh hanya berseluar dalam di dalam rumah dan berjalan di hadapan anak. Hukumnya haram. Yang boleh, suami pakai seluar dalam di hadapan isteri sahaja.

3) Bermenantukan orang yang tidak solat

Q: Apa hukum orang yang mengahwinkan anaknya dengan orang yang tidak solat?

A: Orang sekarang ini ada tidak yang bertanya kepada orang yang hendak mengahwini anaknya tentang solat? Tidak ada! Asalkan nampak pakai kereta, beres. Kerja makan gaji, beres. Kerja apa? Kerja bank, bolehlah. Dengar dia kerja bank sahaja boleh terus. Siasat dulu, dia solat ke tidak? Pergi siasat di tempat dia bekerja, dia solat atau tidak? Tanya kawan-kawannya, dia berjudi atau tidak? Dia minum arak atau tidak? Sebabnya kita hendak buat menantu. Haram buat menantu orang yang tidak solat walaupun nikah itu sah. Ini kerana anak perempuan itu amanah Allah. Kita kena jaga betul-betul. Jangan jadi rosak dan kotor. Adakah layak anak dara kita yang kita bela dari kecil sampai besar akhirnya kita bagi dia tidur dengan orang yang tidak solat? Dia pula kena taat dengan suami yang fasik. Tidak betul punya ayah. Macam tidak sayang anak! Wallahu a'lam.
 -----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
 p/s: Segala persoalan dan jawapan diambil terus-menerus dari majalah al-Ustaz buat perkongsian umum. Harap ia menjadi rujukan buat semua serta penulis sendiri. Insya ALLAH.

Tuesday, May 14, 2013

Kemusykilan agama : Imam Yahya

Dijawab Oleh : Imam Yahya bin Syaraf al-Nawawi

1) Makan minum sambil berdiri

Q: Apakah makruh makan dan minum sambil berdiri? Bagaimana menjawab hadis-hadis yang melarangnya?

A: Minum sambil berdiri hukumnya makruh, tidak haram. Adapun makan sambil berdiri, maka jika ada hajat, hukumnya harus. Jika tanpa hajat, maka hukumnya khilaf afdal (menyalahi yang lebih utama) , tidak boleh dikatakan makruh. Ini kerana sabit dalam riwayat Ibn Umar bahawa mereka (para sahabat nabi) pernah melalakukannya. Ini lebih utama dibandingkan riwayat Sahih Muslim daripada Anas yang memakruhkannya. 
Adapun minum berdiri, dalam Sahih Muslim melarangnya, namun dalam Sahih al-Bukhari dan selainnya ada hadis-hadis sahih yang menyatakan bahawa Nabi melakukannya. Maka hadis-hadis larangan menunjukkan hukum makruh tanzih, dan hadis-hadis perbuatan nabi menunjukkan tidak haram.

2) Syaitan tumpang makan

Q: Adakah syaitan memakan dan meminum daripada makanan atau minuman manusia?

A: Ya, ia makan dan minum daripada makanan manusia. Wallahu a'lam.

3) Makan sikit-sikit

Q: Betulkah bahawa Nabi SAW menyuruh untuk memperkecil suapan dan memperhalus kunyahan? Adakah perkara itu disunatkan?

A: Tidak sahih riwayat tersebut. Namun perkara itu sunat jika diniatkan untuk membuat ikhsan dan mengajar adab atau makanan sedikit dan dia sebenarnya sudah kenyang namun jika dia tidak makan, maka orang lain juga enggan makan. Atau niat-niat lain yang baik.

4) Sunat basuh tangan

Q: Sebahagian ahli adab mengatakan bahawa disunatkan membasuh tangan sebelum makan dimulakan dengan membasuh tangan anak-anak muda dan kanak-kanak terlebih dahulu sebelum orang tua. Adapun selepas makan, maka dimulakan dengan orang tua terlebih dahulu. Ia juga berkata, disunatkan mengusap dengan sapu tangan setelah selesai makan. Dan tidak disunatkan sebelum makan. Apakah hikmah adab tersebut sekiranya benar?

A: Mendahulukan membasuhh tangan anak-anak muda dan kanak-kanak sebelum makan, asasnya tangan mereka biasanya lebih kotor akibat tidak menjaga diri daripada kotoran. Itu sebabnya tangan mereka lebih dahulu perlu dibasuh. Dalam kes air yang sedikit, maka tidak membasuh tangan orang tua lebih sedikit mafsadahnya. Adapun mendahulukan tangan orang tua untuk dibasuh selepas makan, tujuannya untuk menghormati mereka, lagipun tiada lagi keperluan yang telah disebut tadi. Adapun tidak mengusap tangan dengan sapu tangan sebelum makan, asasnya kerana dikhuatiri ada kotoran atau sesuatu yang menggelikan dalam sapu tangan tersebut. Perkara ini berbeza dengan selepas makan. Wallahu a'lam.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------
 p/s: Segala persoalan dan jawapan diambil terus-menerus dari majalah al-Ustaz buat perkongsian umum. Harap ia menjadi rujukan buat semua serta penulis sendiri. Insya ALLAH.
My photo
Puchong, Selangor, Malaysia
Hamba Allah. Currently studying at UiTM Perlis, Malaysia. Alhamdulillah, 2nd year Banking student. I'm Malaysian. Thanks for viewing here! :)